PELUANG pembangun mudah alih bergelar jutawan melalui bisnes penyediaan aplikasi mampu diraih jika mereka menonjolkan bakat dalam pertandingan inovatif anjuran Celcom (Malaysia) Bhd dengan kerjasama Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd dan Cradle Fund Sdn Bhd.
Ketua Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata pertandingan Liga Cabaran Pembangun Luar Biasa 2008 dilancarkan bagi mengiktiraf pembangun mudah alih, seterusnya memberi mereka peluang perniagaan berpotensi besar.
“Kita dapat lihat pelbagai aplikasi mampu dimanfaatkan dalam setiap hubungan bermula dari pagi hingga malam dan di sinilah potensi pendapatan melebihi RM50 juta setahun mampu difikirkan pembangun,” katanya.
Menurut Shazally, sebanyak 24 pemenang yang akan dipilih sepanjang pertandingan itu, berpeluang memperoleh perkongsian kontrak pendapatan dengan syarikat telekomunikasi itu bagi mengkomersialkan aplikasi dan perkhidmatan dibangunkan.
“Pemenang yang dipilih sepanjang tempoh pertandingan berpeluang memperoleh pakej menarik perkongsian kontrak pada nisbah 40:60 hingga maksimum 80:20,” katanya.
Pertandingan itu menyediakan ruang kepada pembangun mudah alih mengembangkan penyelesaian mudah alih yang bakal dibangunkan mereka ke pasaran lebih luas.
Hadir sama dalam pelancaran itu termasuk Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Yasmin Mahmood dan Ketua Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan.
Dalam pada itu, Nazrin memaklumkan Cradle Fund membantu pemenang dengan menyalurkan dana maksimum RM150,000 untuk setiap pemenang bagi memperluaskan konsep prototaip yang dibangunkan.
Kini terdapat lebih 50,000 pembangun di Malaysia yang berpeluang memasuki pertandingan ini dengan mendaftar sebelum 15 September 2008 di laman web www.celcom.com.my.